M Update, 26/08/2024 – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melantik Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai pengerusi baharunya, berkuat kuasa 1 September 2024.
Mohd Zuki, sebelum ini Ketua Setiausaha Negara ke-15, akan mengambil alih daripada Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, yang memegang jawatan itu sejak 1 Mei 2020, menurut KWSP dalam kenyataan hari ini.
“Lembaga Pengarah KWSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahmad Badri atas kepimpinan cemerlang dan sumbangan besar beliau.
“Pada masa yang sama, Lembaga Pengarah ingin mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Mohd Zuki, yang berpengalaman luas dalam sektor kerajaan dan hala tuju strategik beliau akan terus memacu KWSP kepada tahap yang lebih tinggi,” katanya. – Bernama