M Update, 01/10/2024 – Penduduk Kampung Empa mendakwa melihat kehadiran angggota polis membawa seorang lelaki dalam keadaan bergari meninjau lokasi sekitar Sungai Padang Terap di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, penduduk tidak menyangka kehadiran sepasukan polis itu adalah bagi menjalankan siasatan kes kehilangan pesara kewangan FELCRA, Sabari Baharom, 62, sejak 3 September lalu.
Sabari dipercayai dicampak ke dalam sungai berdekatan kampung itu dalam keadaan tangan berikat dan mulut ditutup oleh suspek selepas berlaku pertikaian antara mereka.
Berikutan itu, polis dan bomba mula menjalankan operasi mencari di Sungai Padang Terap sejak kelmarin, bagi mengesan jasad Sabari yang kini dipercayai hanyut pada jarak lebih 10 kilometer (km).
Operasi mencari dikatakan agak sukar dilakukan kerana sungai terbabit turut bersambung dengan beberapa sungai kecil lain, di mana jasad mangsa mungkin tersangkut.
Selain itu, faktor cuaca tidak menentu termasuk hujan turut memberikan cabaran kepada anggota pasukan penyelamat yang perlu berhati-hati sepanjang melakukan operasi berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa yakin mampu menemui jasad Sabari dalam tempoh terdekat apabila kawasan pencarian diperluas hari ini, sehingga ke sungai sekitar Pelubang, Tandop Chegar dan Taman Dato Osman Aroff, Jitra.
Sebelum ini, wanita berusia 62 tahun dilaporkan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan mangsa.
Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki Proton Waja pada 3 September lalu.