M Update, 20/11/2024 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menasihati semua pihak berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menaikkan harga makanan.
Armizan berkata, beliau tidak mahu ada pihak dianggap mengambil kesempatan susulan pengumuman kerajaan menaikkan gaji minimum dan gaji penjawat awam. Menurutnya, sebarang pengumuman kenaikan harga tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dan perlu melalui justifikasi kukuh tanpa ada elemen pencatutan.
“Sebarang kenaikan perlu ambil kira kos langsung dan tak boleh dibuat pengumuman (naik harga) sesuka hati.
“Jika buat demikian, KPDN boleh menanggil pihak terbabit untuk dapatkan alasan dan sebab kenakan harga tersebut,” katanya mengulas isu cadangan kenaikan harga restoran India Muslim atau mamak di Johor.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor mengadu dijangka kos operasi mereka akan terus meningkat dengan pelaksanaan gaji minimum mulai tahun. Justeru, pengusaha restoran mamak dijangka menaikkan harga makanan di premis mereka bermula dari lima peratus, mulai tahun depan.
Perjumpaan dengan Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor telah dibuat dan hasil daripada perbincangan itu mereka memberi komitmen tidak akan naikkan harga sebagaimana yang diumumkan.