M Update, 07/01/2025 – Maybank memperkenalkan ciri keselamatan anti penipuan pertama di pasaran Malaysia, Money Lock melalui Aplikasi MAE.
Ciri baharu itu membolehkan pelanggan mengunci dana di dalam pilihan akaun simpanan atau semasa daripada diakses secara digital dan melindunginya daripada penipuan dalam talian.
Dengan adanya lapisan keselamatan tambahan itu, pelanggan boleh menikmati kelebihan perbankan dalam talian tanpa perlu risau dengan keselamatan kewangan mereka. Dengan Money Lock ini juga pelanggan memiliki kebebasan penuh untuk menentukan tahap keselamatan dana di dalam akaun. – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar
Pelanggan boleh memilih untuk mengunci jumlah yang diingini, bermula daripada serendah RM10 sehingga ke jumlah baki yang tersedia dalam akaun.
Pelanggan juga boleh dengan mudah menambah jumlah yang dikunci terus dari Aplikasi MAE, tanpa dikenakan sebarang yuran dan tanpa had pada bilangan kali Money Lock boleh diaktifkan.
Maybank juga menjadi bank pertama di Malaysia yang memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk mengunci dana secara digital dalam akaun simpanan dan semasa.
Untuk mengaktifkan Money Lock, pelanggan hanya perlu melakukan tiga langkah mudah iaitu buka Aplikasi MAE, tekan tab ‘Accounts’ dan pilih akaun simpanan atau semasa untuk menggunakan Money Lock.
Tekan pada ikon ‘Money Lock’ dan pilih jumlah yang ingin dikunci dengan halaman ringkasan akan dipaparkan. Sahkan melalui Secure2u untuk mengaktifkan Money Lock dan untuk membuka dana di Money Lock atau mengurangkan dana yang telah dikunci.
Pelanggan Maybank hanya perlu melakukan proses pengesahan yang ringkas di mana-mana ATM atau cawangan Maybank seluruh negara. Langkah itu diambil untuk memastikan dana yang dikunci kekal selamat daripada akses tanpa kebenaran.
Selepas pengesahan berjaya, dana akan dilepaskan atau dikurangkan dengan segera, bergantung kepada permintaan pelanggan. – BH