Input your search keywords and press Enter.

Masjid Tiada Dalam Montaj Pelancaran TMM 2026?

Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

M Update, 09/01/2025 – Elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) yang lebih terperinci dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, video montaj yang dikritik selepas tidak mempamerkan elemen masjid sebelum ini hanyalah video pelancaran ringkas dan pendek dengan durasi 41 saat.

Menurutnya, fokus utama video montaj berkenaan adalah untuk menampilkan keunikan Malaysia secara inklusif, justeru semua pihak diminta pihak agar tidak mempolitikkan isu berkenaan.

“Saya berharap semua pihak memahami video pelancaran seperti ini sememangnya tidak boleh terlalu panjang atau terperinci. Malaysia mempunyai pelbagai keindahan dan keunikan di negara ini termasuk seni bina masjid yang memukau.

“Untuk itu, elemen-elemen tersebut telah dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci serta memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus, di mana video ini dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Mana-mana elemen yang menonjolkan seni, budaya dan daya tarikan pelancongan Malaysia secara menyeluruh akan disertakan dalam video tersebut seperti silat, tarian ngajat dan tarian sumazau yang melambangkan keindahan budaya dan semangat perpaduan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Video montaj TMM 2026 menerima kritikan termasuk daripada pemimpin pembangkang yang menggesa MOTAC menarik balik video berkenaan kerana didakwa cuai berikutan tiada elemen masjid dipaparkan sedangkan terdapat paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.

Mengulas lanjut, King Sing menegaskan, tujuan utama video montaj ringkas pelancaran Kempen TMM 2026 adalah untuk mempromosikan pelancongan, keindahan seni, budaya dan produk pelancongan Malaysia secara keseluruhan termasuk perpaduan, perkembangan ekonomi serta hala tuju negara pada masa depan, bukannya mengenai agama atau perkauman.

Berikutan itu, King Sing melahirkan rasa amat kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu berkenaan sebagai sentimen agama dan perkauman serta bahan perpecahan.

Sikap golongan ekstremis seperti inilah yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial kita, bukan usaha promosi yang dilakukan oleh kementerian.

“Saya juga menentang keras tindakan segelintir pihak yang cuba memutarbelitkan usaha kami sebagai satu agenda yang bercanggah dengan semangat Malaysia Madani. Sepatutnya, kita semua mengutamakan perpaduan, saling hormat-menghormati dan kesejahteraan bersama.

“Kami sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk negara. Saya berharap semua pihak dapat memahami bahawa fokus utama adalah untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia serta mengukuhkan ekonomi negara melalui sektor pelancongan, seni dan budaya,” katanya.

Sehubungan itu, King Sing meminta kepada semua pihak, tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang, agar tidak menjadikannya sebagai isu agama atau perkauman.

“Ingatlah bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang menekankan nilai inklusiviti dan perpaduan. Jangan biarkan isu-isu sebegini menjadi penghalang keharmonian masyarakat, seterusnya menjejaskan imej negara kita di persada dunia.

“Marilah kita bersama-sama mengekalkan perpaduan dan bekerjasama memastikan usaha promosi negara ini berjalan dengan lancar demi manfaat kita semua,” katanya. – Sinar Harian