
M Update, 20/02/2025 – Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap banduan Malaysia yang dijatuhi hukuman mati, Pannir Selvam Pranthaman, hanya beberapa jam sebelum beliau dijadualkan menjalani hukuman, hari ini.
Hakim Bahagian Rayuan Woo Bih Li dalam penghakimannya, berkata penangguhan itu diberikan sementara menunggu keputusan permohonan Pannir Selvam di bawah Akta Permohonan Pasca Rayuan dalam Kes Hukuman Mati (PACC).
Woo membenarkan Pannir Selvam untuk membuat satu permohonan PACC di bawah Seksyen 60 (G) Akta Kehakiman Mahkamah Tertinggi 1969 (SCAJ) tanpa perlu menetapkan untuk pendengaran.
PACC adalah permohonan yang difailkan oleh banduan yang menunggu pelaksanaan hukuman mati (PACP) selepas semua saluran perundangan telah digunakan sepenuhnya.
Pannir Selvam mewakili dirinya sendiri dalam penghujahan kes itu.
Woo berkata beliau membenarkan Pannir Selvam memfailkan permohonan PACC atas alasan bahawa terdapat aduan belum selesai terhadap bekas peguamnya, Ong Ying Ping kepada Persatuan Undang-Undang Singapura, selain satu lagi kes berkenaan cabaran perlembagaan berkaitan undang-undang dadah Singapura yang masih belum diputuskan.
Dalam membuat keputusan itu, Woo mengambil kira afidavit dan penghujahan bertulis Pannir Selvam pada 17 Februari lalu serta penghujahan bertulis tambahan pada 18 Februari.
Beliau turut mempertimbangkan penghujahan bertulis Peguam Negara (AG) serta afidavit Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Dasar di Kementerian Dalam Negeri, Sanjay Nanwani, yang dikemukakan pada 18 Februari.
Pannir Selvam disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2017 atas kesalahan membawa masuk 51.84 gram diamorfin ke Singapura di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 (MDA).
Beliau tidak diberikan Sijil Bantuan Substantif (CSA) oleh Pendakwa Raya dan dijatuhkan hukuman mati mandatori. Sejak itu, beliau menggunakan semua saluran perundangan yang tersedia di bawah undang-undang Singapura.
Akta PACC Singapura, yang berkuat kuasa pada 28 Jun 2024, membolehkan PACP mengemukakan permohonan pasca rayuan yang hanya boleh didengar oleh Mahkamah Rayuan.
PACP mesti terlebih dahulu mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mengemukakan Permohonan PACC.
Jika kebenaran diberikan, permohonan itu mesti dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan dalam tempoh tiga hari dari tarikh kelulusan. Mahkamah Rayuan kemudiannya akan membuat keputusan berhubung permohonan PACC itu. – BH