
M Update, 11/03/2025 – Kartunis terkenal Pulau Pinang, Azmi Hussin atau nama sebenarnya Mohd Azmi Mohd Hussin, 41, meninggal dunia.
Pemegang tiga rekod Malaysia Book of Records (MBR) itu terkenal dengan siri komik ‘Tanjong Life!’.
Difahamkan, Allahyarham mengalami sakit dada ketika dalam perjalanan pulang dari bazar Ramadan di Paya Terubong, di sini, bersama keluarganya.
Abang iparnya, Abdul Aleem Shammoon Rali, 37, berkata, isteri arwah segera membawanya ke sebuah klinik berhampiran di Farlim sebelum dia tiba-tiba rebah.
Doktor turut memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam ambulans semasa dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang. Bagaimanapun, Azmi dilaporkan menghembuskan nafas terakhir sebelum tiba di hospital.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak selepas solat Zuhur.
Allahyarham meninggalkan isteri, dua anak lelaki berusia 17 dan 15 tahun serta seorang anak perempuan berusia 11 tahun.
Beliau terkenal dengan gaya lukisan yang unik dan sering menggambarkan kehidupan seharian masyarakat Malaysia terutama di Pulau Pinang.
Dilahirkan di Butterworth, Azmi menerbitkan lima buku kartun, termasuk ‘The Little Mamak’ yang diiktiraf sebagai satu daripada ’50 Judul Terbaik Malaysia’ oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pada 2016 dan turut tersenarai bagi Pesta Buku Frankfurt di Jerman pada tahun sama.
Azmi pernah mencipta rekod melukis karikatur paling banyak dalam tempoh 24 jam, sekali gus mencatatkan namanya dalam MBR.
Selain itu, beliau menerima Anugerah Pekomik Kembara pada 2018 dan Tokoh Kartunis Pulau Pinang pada 2021.