Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Tidak Campur Tangan Urusan Badan Kehakiman

M Update, 17/03/2025 – Kerajaan Perpaduan menegaskan bahawa tidak akan campur tangan dalam sebarang keputusan badan kehakiman.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mereka yang dilantik dalam badan itu berwibawa, bebas dan benar-benar layak dan berintegriti.

Beliau akan pastikan agar tidak ada campur urusan badan kehakiman dalam membuat keputusan, tapi mahu yang dilantik ini cukup berwibawa, bebas, serta tidak terjerumus dengan kepentingan perniagaan dan rasuah kerana ini tanggungjawab kerajaan sebab kita kena jawab dalam Parlimen dan kepada rakyat.

Majlis Peguam dalam resolusinya semalam, mengutuk keras sebarang campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman oleh badan eksekutif, legislatif atau mana-mana individu atau entiti yang bertujuan mengatasi Perlembagaan dan perundangan dalam pelantikan kehakiman, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

Resolusi itu juga menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan telus terhadap ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan (OLY) pada Januari lalu.

Anwar berkata, pengawasan perlu dilakukan oleh badan bebas terhadap badan kehakiman bagi menjamin semak dan imbang.

Perdana Menteri berkata, kerajaannya hingga kini juga tidak pernah mencampuri sebarang kes dibicarakan di mahkamah, termasuk yang membabitkan golongan kenamaan.