Input your search keywords and press Enter.

ICAO Putuskan Rusia Bertanggungjawab Insiden Tembak Jatuh MH17

M Update, 13/05/2025 – Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) semalam memutuskan Russia bertanggungjawab atas insiden tembakan jatuh sebuah pesawat penerbangan Malaysia di ruang udara Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, menurut kenyataan kerajaan Belanda.

Penerbangan Malaysia Airlines MH17 berlepas dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, dan ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Russia dan tentera Ukraine.

Dalam kenyataan itu, kerajaan Belanda berkata, ICAO akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang wajar dalam beberapa minggu akan datang.

Pada November 2022, hakim-hakim Belanda mensabitkan dua lelaki Russia dan seorang lelaki Ukraine tanpa kehadiran mereka atas tuduhan membunuh di atas peranan mereka dalam serangan berkenaan.

Moscow menyifatkan keputusan itu sebagai ‘memalukan’ dan berkata, ia tidak akan mengekstradisi warganegaranya.

Kes berkenaan dimulakan pada 2022 oleh Australia dan Belanda. ICAO, yang berpangkalan di Montreal tidak memberi respon segera terhadap permintaan untuk memberi ulasan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp dalam satu kenyataan, berkata keputusan itu adalah langkah penting ke arah menegakkan kebenaran dan mencapai keadilan serta akauntabiliti untuk semua mangsa Penerbangan MH17, serta keluarga dan orang tersayang mereka.

Keputusan ini juga memberi mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa: sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan,” katanya.

ICAO tidak mempunyai kuasa kawal selia tetapi mempunyai pengaruh moral dan menetapkan piawaian penerbangan global yang diterima pakai sebahagian besarnya oleh 193 negara anggotanya.

Belanda dann Rusia mahu Majlis ICAO mengarahkan Rusia supaya memulakan rundingan mengenai pampasan.