Input your search keywords and press Enter.

MOT Wujudkan Sistem Pangkalan Data Pemandu Bas

M Update, 12/06/2025 – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membangunkan pangkalan data pemandu bas ekspres dan persiaran, lengkap dengan rekod lampau dan buruk mereka, bagi tujuan penambahbaikan keselamatan pengangkutan awam darat.

Sistem itu yang akan dibangunkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membolehkan syarikat bas menilai kelayakan serta latar belakang pemandu sebelum mereka diambil bekerja.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, ketika ini tiada pangkalan data berpusat mengenai pemandu. Syarikat tidak mempunyai rujukan untuk menyemak rekod pemandu, menyebabkan pemandu yang bermasalah boleh terus bekerja dengan syarikat lain.

Sistem sedia ada hanya merekodkan pelesenan pemandu tanpa pangkalan data menyeluruh. Tiada rujukan mengenai rekod prestasi pemandu. Syarikat hanya bergantung pada lesen memandu tanpa mengetahui rekod kecuaian atau kesalahan serius individu.

Tambah beliau, selain pembangunan pangkalan data, jemaah Menteri juga telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk memberi penekanan terhadap aspek operasi, penilaian, serta latihan pemandu bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Ia susulan tragedi menyayat hati yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas bas yang membawa mereka terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, pada Isnin lalu.