
M Update, 14/07/2025 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengadakan lawatan kerja ke New Zealand, selama lima hari bermula hari ini.
Lawatan ini sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan Malaysia untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala terjalin selama 68 tahun dengan New Zealand, sejak terbinanya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki, berkata fokus kerjasama tertumpu kepada bidang utama utama seperti pertahanan, pendidikan, pertanian, industri halal serta kerjasama strategik berpaksikan empat tonggak utama merangkumi kemakmuran, rakyat, kelestarian alam sekitar serta keamanan dan keselamatan.
Lawatan ini dijangka memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-New Zealand yang sekian lama terjalin erat merentasi pelbagai bidang kerjasama. Ia turut melambangkan kesinambungan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara, termasuk lawatan kerjasama oleh bekas Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 2 hingga 4 Mei 2023.
Lawatan ini termasuk kesinambungan lawatan kerjasama bekas Timbalan Perdana Menteri New Zealand merangkap Menteri Luar, Winston Peters ke Malaysia pada 6 hingga 9 2024 serta lawatan kerja oleh Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon pada 1 hingga 3 September 2024,” katanya pada sidang media, semalam.
Mazita berkata, pengisian lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, termasuk pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi New Zealand pada 16 hingga 17 Julai ini di Wellington.
Pertemuan itu membabitkan Gabenor Jeneral New Zealand, Dame Cindy Kiro; Timbalan Perdana Menteri, David Seymour; Menteri Luar, Winston Peters; Menteri Pembangunan Maori, Tama Potaka serta Menteri Pertanian, Perdagangan dan Pelaburan, Todd McClay.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) turut dijadual hadir Forum Halal anjuran bersama Kementerian Industri Utama New Zealand.
Selain itu, menyaksikan pemeteraian dokumen kerjasama antara kerajaan Malaysia dan New Zealand dalam kerjasama pendidikan tinggi serta menghadiri sesi libat urus bersama pemimpin industri dan perniagaan negara ini.
Ia termasuk libat urus bersama Majlis Perniagaan ASEAN-New Zealand (ANZBC) serta Perbadanan Perusahaan dan Perdagangan New Zealand (NZTE).
Timbalan Perdana Menteri yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) juga dijadual mengadakan lawatan ke Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan, selain menyertai sesi meja bulat bersama komuniti Orang Asli Maori di Rotorua.
Di samping itu, Ahmad Zahid dijadual menghadiri majlis ramah mesra bersama komuniti Malaysia di New Zealand, dijangka dihadiri seramai 250 Rakyat Malaysia yang bermastautin dan menetap di negara ini.
Kali terakhir pemimpin tertinggi Malaysia melawat New Zealand ialah pada Mac 2005, iaitu ketika Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi berkhidmat sebagai Perdana Menteri. – BH