Input your search keywords and press Enter.

1,000 Warga Indonesia, Pekerja Migran Dihantar Pulang Menerusi Program M

Foto KJRI Johor Bahru

M Update, 22/07/2025 – Seramai 1,000 warga dan pekerja migran Indonesia yang menjalani tahanan imigresen di Semenanjung dihantar pulang ke tanah air menerusi Program M.

Program M adalah inisiatif kerjasama antara Jabatan Imigresen (Imigresen) dan Perwakilan Republik Indonesia di Semenanjung Malaysia.

Pelaksana Fungsi Konsulat 2, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, Leny Marliani berkata, jumlah itu dicapai menerusi beberapa fasa penghantaran di bawah program berkenaan dengan sasaran keseluruhan 7,200 orang dalam tempoh dua tahun.

“Sementara itu, jumlah keseluruhan pemulangan warga Indonesia yang diuruskan oleh KJRI Johor Bahru pula mencecah 3,456 orang setakat ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, sebanyak 232 warga Indonesia dan pekerja migran yang menjalani tahanan dihantar pulang menerusi pengurusan KJRI Johor Bahru dengan kerjasama JIM, melalui Terminal Feri Pasir Gudang menggunakan dua feri berasingan menuju ke Pelabuhan Batam Centre, Batam, Kepulauan Riau.

Kumpulan pertama membabitkan 83 orang terdiri daripada 61 lelaki, 16 perempuan, empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan yang berlepas pada 10 pagi manakala kumpulan kedua berlepas sejam kemudian membabitkan 149 individu termasuk 124 lelaki, 21 perempuan, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 83 ditahan di Depot Tahanan Imigresen Kemayan, Pahang manakala 149 lagi di Imigresen Putrajaya.

Leny Marliani turut menasihati semua warga Indonesia agar mematuhi undang-undang ditetapkan kerajaan Malaysia dan melengkapkan diri dengan dokumen perjalanan yang sah.

d