Input your search keywords and press Enter.

Jangan Tertipu! Video Guna Imej YDP Agong Tawar Bantuan Kewangan Adalah Palsu

Foto: YDPA Agong

M Update, 22/07/2025 – Polis mengesahkan bahawa video ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung tawaran bantuan kewangan yang tular adalah palsu, dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa, pihaknya mengesan sebuah video berdurasi 32 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok, memaparkan maklumat palsu menggunakan imej Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, video tersebut yang dimuat naik menerusi akaun TikTok @datukzulkarnain77, menunjukkan seolah-olah Yang di-Pertuan Agong menyampaikan ucapan berhubung tawaran bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia.

Video itu turut menyeru individu yang menghadapi kesulitan kewangan supaya menghubungi seorang lelaki bernama Datuk Zulkarnain.

“PDRM ingin menegaskan bahawa kandungan video berkenaan adalah palsu dan dipercayai telah dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan kandungan video berkenaan dan tidak menghubungi individu yang dinyatakan kerana ia adalah cubaan penipuan.

Satu laporan polis sudah diterima berkenaan video itu dan siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sedang dijalankan.

d