Input your search keywords and press Enter.

Gencatan Senjata: Panglima ATM Ketuai Delegasi Perbincangan Diplomatik Ke Thailand, Kemboja

Foto: Foto FB JHEV

M Update, 29/07/2025 – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, mengetuai delegasi ke Thailand dan Kemboja bagi mengadakan perbincangan diplomatik dengan kedua-dua negara, susulan gencatan senjata yang dicapai semalam.

ATM dalam satu kenyataan semalam berkata delegasi diplomatik ini bertujuan memastikan semua pihak terlibat mematuhi perjanjian yang berkuat kuasa jam 12 tengah malam tadi (28 Julai), sekali gus meredakan ketegangan di kawasan sempadan.

Gencatan senjata telah dilaksanakan, namun beberapa pertempuran kecil dilaporkan berlaku sejurus selepas ia dikuatkuasakan. Selepas satu mesyuarat antara Komander-Komander Serantau, kedua-dua negara mencapai persetujuan semula untuk mengekalkan perjanjian gencatan senjata yang melarang serangan terhadap orang awam, menghentikan sebarang penambahan kekuatan tentera, melarang pergerakan pasukan ketenteraan, serta memudahkan pemulangan anggota yang tercedera dan terkorban.

Kedua-dua pihak turut bersetuju menubuhkan pasukan penyelarasan yang terdiri daripada empat wakil dari setiap negara dan akan menunggu perbincangan serta keputusan lanjut berdasarkan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos.

Delegasi Malaysia akan meneruskan perjalanan ke Phnom Penh bagi mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Kemboja.