Input your search keywords and press Enter.

Aktivis GSF Yang Ditahan Tentera Israel Kini Berada Di Pelabuhan Ashdod

Foto: Telegram Nadir Al-Nuri

M Update, 03/10/2025 – Aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri mengesahkan bahawa para peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel mula tiba di pelabuhan Ashdod, Israel pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu, yang mengetuai panji Sumud Nusantara berkata, barisan peguam GSF telah mula menghubungi mereka untuk memberikan khidmat guaman susulan penahanan berkenaan.

Muhammad Nadir Al-Nuri bersama tiga lagi sukarelawan Malaysia masih berada di Laut Mediterranian dalam Jong Melayu yang berperanan sebagai kapal pemerhati.

Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel ketika menyertai GSF bagi misi menghantar bantuan kemanusiaan berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Foto: Telegram Nadir Al-Nuri

Sementara itu, lima peguam yang juga aktivis undang-undang hak asasi manusia dari Malaysia kini berada di Amman, Jordan bagi memastikan delegasi negara dalam konvoi GSF yang ditahan rejim Israel mendapat perlindungan secara telus dan adil.

Mereka ialah Dir Kheizwan Kamaruddin, Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.

Pasukan guaman itu akan mewakili delegasi Malaysia yang ditahan sekali gus berurusan dengan para peguam The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) yang berpangkalan di Israel selain bekerjasama dengan peguam antarabangsa bagi proses perundangan berkaitan.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Foto: Telegram Nadir Al-Nuri

Misi itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa seperti aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon dan Liam Cunningham, bekas Datuk Bandar Barcelona Ada Colau, empat Ahli Parlimen Itali serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean dengan membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza. – Bernama