
M Update, 06/10/2025 – Seorang aktivis Itali, Tommasa Bortolazzi yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Nusantara (GSF), dilaporkan memeluk Islam semasa berada dalam tahanan Israel.
Dalam temu bual bersama wartawan di Istanbul, Turkiye, Bortolazzi menjelaskan bahawa keputusannya memeluk Islam dibuat atas kehendak dan kerelaan dirinya sendiri.
Tommasa Bortolazzi berkata, beliau menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) kerana merasakan ia adalah tindakan terbaik untuk dilakukan demi rakyat Palestin dan negaranya, kerana tidak sanggup lagi melihat pembunuhan beramai-ramai berlaku.
Beliau menjelaskan bahawa hari-hari terakhir dalam tahanan sangat sukar, dan kebanyakan rakan tahanannya dari Turkiye adalah beragama Islam. Mereka melalui detik mencemaskan dan penuh ketakutan kerana mempertaruhkan nyawa bersama, namun tetap kekal bersatu.
Bortolazzi turut menyatakan bahawa selepas memeluk Islam, beliau berasa seperti seorang bayi yang baru dilahirkan.
Terdahulu, rakaman video memaparkan Bortolazzi bercerita mengenai pengalamannya memeluk Islam semasa ditemubual wartawan, tular di media sosial, semalam.
Sementara itu, dalam rakaman video sama, seorang lelaki memaklumkan Bortolazzi bertanya kepada dia, adakah Tuhan akan menerimanya sebagai Muslim kerana dia bertatu?,”
Lelaki itu kemudian menjawab ya dan memaklumkan bahawa dirinya yang membantu Bortolazzi mengucap dua kalimah syahadah.
“Semasa di dalam kereta penjara, dia mengulangi (kalimah syahadah) yang saya ucapkan dan dia menjadi Muslim,” kata lelaki itu.
Dalam video itu, Bortolazzi dilihat memeluk lelaki berkenaan yang dipercayai antara sukarelawan GSF yang ditahan Israel, sejak Khamis lalu.