
M Update, 19/11/2025 – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan ramalan awal mengenai kemungkinan berlakunya banjir di Kelantan susulan cuaca hujan berterusan yang dijangka boleh menyebabkan sungai melimpah dalam tempoh bermula hari ini hingga 21 November.
Dalam kenyataan semalam, JPS menjelaskan bahawa sembilan jajahan di negeri tersebut dikenal pasti berada dalam kategori berisiko, khususnya di kawasan lembangan sungai utama.
Jajahan yang terbabit adalah Tumpat membabitkan Lembangan Sungai Golok, Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Pengkalan Nangka, Pasir Mas (Lembangan Sungai Golok dan Lembangan Sungai Kelantan) manakala Kota Bharu (Lembangan Sungai Kelantan, Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Lembangan Sungai Kemasin serta Lembangan Sungai Pengkalan Chepa).
Di jajahan Pasir Puteh pula membabitkan Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Semerak, Bachok (Lembangan Sungai Kemasin dan Lembangan Sungai Semerak) manakala Tanah Merah (Lembangan Sungai Golok dan Lembangan Sungai Kelantan).

Lembangan sungai terbabit di jajahan Machang dan Kuala Krai pula adalah Sungai Kelantan manakala di Jeli pula membabitkan Lembangan Sungai Golok dan Lembangan Sungai Kelantan.
JPS memaklumkan pemantauan berterusan dilakukan dan sebarang amaran banjir akan dikemas kini sekiranya hujan signifikan berterusan di kawasan-kawasan terbabit.
Orang ramai disaran sentiasa memantau hebahan rasmi dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
