
M Update, 05/01/2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro bersama isterinya, Cilia Flores di Caracas sebagai sesuatu yang luar biasa dan membimbangkan.
Beliau menegaskan, tindakan berkenaan jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta mencerminkan penggunaan kekerasan terhadap sebuah negara berdaulat.
Menurut Anwar, Maduro dan isterinya perlu dibebaskan dengan segera, sambil menegaskan bahawa usaha menyingkirkan seorang ketua kerajaan melalui campur tangan kuasa luar merupakan tindakan yang tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip kedaulatan negara.
Anwar berkata, Malaysia sentiasa menghormati undang-undang antarabangsa dan kedaulatan sebagai asas utama hubungan baik antara negara.
Beliau berkata tindakan berkenaan menghakis prinsip penggunaan kuasa antara negara serta menjejaskan struktur undang-undang yang menjadi asas kepada tatanan antarabangsa.
Menurutnya, penentuan masa depan politik Venezuela wajar diserahkan sepenuhnya kepada rakyat negara itu sendiri, sambil menegaskan bahawa sejarah membuktikan perubahan kepimpinan melalui campur tangan luar sering membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, khususnya bagi sebuah negara yang telah lama berdepan masalah ekonomi dan ketegangan sosial.
Kenyataan itu disampaikan menerusi hantaran di Facebook ketika beliau menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan semasa di Venezuela.
Presiden AS, Donald Trump berkata, tentera AS telah menahan Maduro bersama isterinya pada Sabtu dan diterbangkan ke New York.