
M Update, 23/01/2026 – Kemurungan dikenal pasti sebagai punca pembunuhan pasangan suami isteri di Sri Aman pada 14 Januari lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
Beliau berkata berdasarkan keterangan keluarga, kawan dan rakan sekerja mendapati lelaki berkenaan, yang juga seorang guru besar, dipercayai mengalami kemurungan sejak bertukar ke sebuah sekolah di Lubok Antu. Laporan kimia terhadap senjata tajam yang digunakan turut mengesahkan tiada DNA asing ditemui.
Hasil siasatan mendapati hanya DNA kedua-dua mangsa ditemui pada senjata tajam tersebut, sekali gus merumuskan bahawa kejadian pembunuhan itu hanya melibatkan pasangan suami isteri berkenaan.
Pada 14 Januari lalu, pasangan suami isteri berusia 45 dan 44 tahun ditemui meninggal dunia dengan kecederaan serius pada tubuh mereka di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman.
Pemeriksaan awal mengesahkan kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun yang bertugas sebagai guru besar dan isterinya berumur 44 tahun, seorang jururawat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohamad Zainal berkata, sepanjang siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, polis merakam keterangan 30 saksi dalam kalangan ahli keluarga, jiran, kawan serta rakan sekerja kedua-dua mangsa.
Selain itu, beliau berkata, polis turut merakam keterangan pakar patologi yang melaksanakan proses bedah siasat mayat kedua-dua mangsa.
Siasatan juga merumuskan bahawa kes berkenaan telah selesai kerana pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang kesan pecah masuk atau kehilangan harta benda yang boleh dikaitkan dengan kejadian samun.
Polis kini menunggu keputusan pemeriksaan forensik terhadap telefon bimbit kedua-dua mangsa, yang dijangka dapat membantu mengenal pasti dengan lebih lanjut motif sebenar kejadian selain faktor kemurungan.