Input your search keywords and press Enter.

Had Umur Media Sosial 16 Tahun Dijangka Bermula Julai

Foto Hiasan

M Update, 26/01/2026 – Pelaksanaan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial, yang bertujuan melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan tidak wajar dalam talian, dijangka mula dilaksanakan seawal Julai ini, seperti dilaporkan media tempatan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata langkah berkenaan kini berada dalam fasa regulatory sandbox bagi membolehkan kerajaan menguji serta menilai mekanisme paling berkesan sebelum pelaksanaan sepenuhnya dibuat.

Beliau menjelaskan, inisiatif itu selari dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) dan perbincangan bersama penyedia platform media sosial telah dimulakan bagi menentukan kaedah terbaik pelaksanaannya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan dilaporkan menyasarkan semua platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital atau eKYC selewat-lewatnya menjelang akhir suku kedua 2026 bagi memastikan penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun.