
M Update, 30/01/2026 – Ketua Staf Markas Angkatan Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Khamis, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas satu pertuduhan pecah amanah melibatkan dana Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) berjumlah RM5 juta.
Tertuduh berusia 56 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamed Fauzi yang ketika itu memegang jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, didakwa menyalahgunakan amanah dengan meluluskan pelaburan tambahan berjumlah RM5 juta dalam sebuah syarikat tanpa kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Perbuatan tersebut didakwa berlaku di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 27 November 2023.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.