Input your search keywords and press Enter.

Dakwaan Malaysia Serah 5,207 Hektar Tanah Kepada Indonesia Tak Benar

Foto Hiasan

M Update, 04/02/2026 – Dakwaan Malaysia menyerahkan seluas 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di Nunukan, Sabah-Kalimantan adalah tidak benar dan satu penipuan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri sebaliknya menegaskan, kedua-dua negara, Malaysia dan Indonesia terikat dengan perjanjian yang dimeterai sejak 1915.

Dakwaan Malaysia serah seluas 5,207 hektar sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan penipuan, kalau pun tidak dengan niat jahat sama sekali.

Beliau menjelaskan bahawa pihak berkenaan perlu berpegang kepada perjanjian sedia ada, selain menegaskan kawasan yang dipertikaikan itu telah direkodkan dalam peta sebagai sebahagian daripada kawasan yang ditetapkan sejak perjanjian 1915.

Beliau berkata perkara itu tidak pernah disahkan dan kawasan berkenaan juga tidak pernah dituntut sebagai milik Malaysia.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Khas Parlimen mengenai Isu Jajaran Sempadan Malaysia-Indonesia, di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata tuduhan sedemikian tidak wajar dilontarkan apatah lagi ia terkait beberapa hal yang agak sensitif terutama masih ada rundingan antara Malaysia-Indonesia yang belum selesai.

Beliau memberi contoh isu lima kawasan sempadan darat, kawasan intertidal di sektor Sabah Kalimantan Utara dan empat kawasan OBP di sektor Sarawak Kalimantan Barat yang masih dalam proses rundingan antara kedua-dua negara.

Tambahnya, ini termasuk tohmahan pembangkang sebelum ini terhadap kerajaan, antaranya berkaitan isu dengan Indonesia berhubung wilayah sempadan maritim antara Malaysia-Indonesia di Ambalat.

Beliau menegaskan semua kenyataan berkaitan perkara itu perlu dibuat secara berhati-hati dan berhemah serta tidak dijadikan bahan untuk kepentingan politik sempit sehingga menjejaskan kepentingan negara dan hubungan dua hala.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu Ambalat masih belum dimuktamadkan, selain menolak tohmahan pihak pembangkang yang mendakwa terdapat penyerahan wilayah, sambil menegaskan perkara berkenaan perlu dirujuk kepada fakta, angka dan data yang sah. – BH