Input your search keywords and press Enter.

Bayar Tol Kini Hanya Guna Nombor Plat, 200K Dah Guna!

Foto Hiasan

M Update, 19/02/2026 – Kira-kira 200,000 pengguna telah memuat turun aplikasi baharu JustGO Malaysia yang diperkenalkan bagi sistem pembayaran tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) di Lebuhraya Utara-Selatan.

Projek perintis ANPR oleh PLUS Malaysia Bhd dilaksanakan di kawasan utara melibatkan sembilan plaza tol di jajaran Hutan Kampung hingga Sungai Dua sejak Januari lalu.

Menurut kenyataan JustGO, aplikasi itu membolehkan pengguna menikmati kebebasan memilih lorong, di mana kenderaan berdaftar boleh melalui mana-mana lorong tol tanpa perlu bergantung kepada kaedah pembayaran tertentu.

Bagi menggunakan sistem ini, pengguna hanya perlu muat turun dan mendaftar di aplikasi terbabit. Tiada pemasangan peranti dan kos permulaan dikenakan kepada pengguna.

Sistem berkenaan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin bagi mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai situasi, termasuk keadaan cuaca, kelajuan serta sudut pandangan yang berbeza.

Foto Hiasan

Untuk menggunakannya, orang ramai hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO Malaysia dan memautkan kaedah pembayaran pilihan seperti kad debit atau kredit tanpa dikenakan sebarang bayaran pendahuluan.

Aplikasi mudah alih itu dibangunkan sebagai platform pembayaran digital terbuka yang dirancang untuk dikongsi bersama industri lebuh raya, selaras dengan aspirasi kerajaan dalam menyediakan kaedah pembayaran yang lebih fleksibel.

Selain itu, kaunter pengaktifan JustGO turut disediakan di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Kedah, termasuk di R&R Gurun serta Hentian Sebelah Juru bagi memudahkan pengguna membuat pendaftaran atau mendapatkan maklumat lanjut.