Input your search keywords and press Enter.

Tragedi Keluarga: Empat Mangsa Dikebumikan Satu Liang

M Update, 19/02/2026 – Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cherating apabila jenazah lima sekeluarga yang ditemui maut semalam selamat dikebumikan di situ.

Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dikebumikan dalam satu liang lahad bersama menantunya, Nurul Asshiykin Kamarulzaman, 33, serta dua cucunya, Nur Sumayyah Humairah, 2, dan Nur Saffiyah Humairah, 5.

Sementara itu, suspek berusia 32 tahun dikebumikan secara berasingan kira-kira beberapa meter dari kubur ahli keluarga berkenaan dalam kawasan tanah perkuburan yang sama.

Solat jenazah ke atas lima mangsa dilaksanakan di Masjid Sungai Ular sebelum kesemua mereka dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Cubaan pihak media mendapatkan reaksi daripada ahli keluarga selepas pengebumian tidak berhasil apabila mereka memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan kerana kes masih dalam siasatan polis.

Suspek yang merupakan seorang pengawal keselamatan dipercayai membunuh ahli keluarganya sebelum mengambil tindakan membunuh diri di kediaman setingkat mereka di Taman Cerating Damai kira-kira jam 7 pagi semalam.

Siasatan mendapati suspek dipercayai menikam isterinya terlebih dahulu, diikuti ibunya dan kemudian dua anak perempuannya sebelum mengakhiri hidupnya sendiri menggunakan sebilah pisau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.