
M Update, 26/02/2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan bahawa poster mengenai pasport dan MyKad baharu yang sedang tular di media sosial adalah palsu.
Menurut kenyataan rasmi, kandungan serta maklumat yang dipaparkan dalam poster berkenaan tidak benar dan bukan sebarang pengumuman rasmi daripada jabatan itu.
“JIM mengambil perhatian serius mengenai penyebaran poster bertajuk New: Malaysia Passport & MyKad 2026 yang mengaitkan laman web rasmi JIM sebagai rujukan dan kini tular di media sosial,” katanya.
Poster itu juga merujuk sumber Kementerian Dalam Negeri dan menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Justeru, jabatan itu menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan sentiasa merujuk kepada saluran rasmi JIM bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan pasport Malaysia atau sebarang dasar baharu.
“Sebarang perkembangan rasmi akan dimaklumkan melalui laman web serta platform media sosial rasmi JIM,” tegasnya.