M Update, 16/05/2019 – Tentera Israel mencederakan hampir 50 penduduk Palestin di sempadan Gaza, hari ini, ketika tunjuk perasaan sempena ulang tahun ke-71 ‘Nakba’ atau bencana, ketika ramai penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal, ketika pertempuran untuk penubuhan Israel, menurut pihak berkuasa.
Ribuan penduduk Palestin berkumpulan di sempadan pesisir pantai Gaza dengan Israel yang menjadi lokasi pertumpahan darah, sejak setahun lalu, sehingga mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
Kumpulan penunjuk perasaan menghampiri pagar sempadan, memacakkan bendera Palestin dan membaling batu ke arah tentera Israel walaupun pengawal berpakaian oren cuba menjauhkan penunjuk perasaan dari penghadang, kata saksi.
Tentera Israel melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk meleraikan mereka dan ada juga peluru hidup digunakan.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata sekurang-kurangnya 47 orang cedera, namun tidak jelas berapa ramai terkena peluru hidup atau cedera akibat peluru getah atau terhidu gas pemedih mata. – Reuters