M Update, 31/05/2019 – Arab Saudi berusaha mendapatkan sokongan di kalangan negara Islam untuk menentang seteru utamanya, Iran, menuntut ‘ketegasan’ terhadap serangan kemudahan minyak di Teluk, ketika ketegangan serantau memuncak.
Menteri Luarnya, Ibrahim al-Assaf menyelar ‘campur tangan’ Iran di rantau itu, beberapa jam selepas Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat (AS), John Bolton berkata, Tehran hampir pasti dalang serangan tangki minyak itu.
Pendirian tegas itu dibuat ketika sidang tergempar negara Arab dan Teluk dipanggil Arab Saudi, sekutu rapat AS bagi membincangkan pertelingkahan dan cara mengasingkan Tehran di tengah kebimbangan ketegangan ketenteraan.
“Sokongan Tehran terhadap pemberontak Houthi di Yaman adalah bukti campur tangan Iran dalam hal ehwal negara lain dan ini sesuatu yang perlu ditolak negara Islam,” kata Ibrahim dalam perhimpunan Menteri Luar 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di bandar barat Jeddah.
Wakil Iran hadir dalam perhimpunan OIC, namun Menteri Luarnya, Javad Zarif tidak hadir.
Pakar AS adalah sebahagian pasukan lima negara yang menyiasat serangan di luar pesisir pantai Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Fujairah.
Perang mulut baharu itu diikuti penghantaran angkatan tentera AS yang termasuk pengerahan sebuah kapal pengangkut pesawat, jet pengebom B-52 dan 1,500 askar ke rantau berkenaan.
Bolton berkata, tambahan pasukan AS dihantar ke Asia Barat sebagai ‘pencegahan’ dan tindak balas Washington dilakukan secara berhemah. -AFP