M Update, 03/07/2019 – Kelab peminat Michael Jackson akan mengambil tindakan undang-undang ke atas dua mangsa yang mendakwa didera secara seksual oleh Raja Pop itu menerusi satu pendedahan dalam dokumentari di HBO, bertajuk ‘Leaving Neverland’.
Sesi pendengaran akan diadakan Khamis ini bertempat di mahkamah di sini dalam prosiding membabitkan kumpulan Michael Jackson Community, MJ Street dan On The Line.
Ketiga-tiga kumpulan berkenaan mengambil keputusan memfailkan saman ke atas James Safechuck, 41 dan Wade Robson atas tuduhan mencemarkan nama baik mendiang Jackson.
Dokumentari selama empat jam di HBO itu memfokus kepada testimoni oleh Safechuck dan Robson, yang mendakwa dicabul Raja Pop terbabit sewaktu berada di rumah agam beliau, Neverland Ranch di California.
Filem dua bahagian yang diterbitkan Mac lalu memecah rekod tayangan dan mendorong keluarga Jackson untuk memfailkan saman berjumlah 88 juta Euro (RM411.8 juta).
Peguam Perancis mewakili kumpulan peminat berkenaan, Emmanuel Ludot menyifatkan dakwaan dua lelaki terbabit sebagai amat serius dan menyamakan tindakan mereka ke atas Jackson dengan cubaan menghukum tanpa keadilan.
Di bawah undang-undang Perancis, menjatuhkan imej individu yang sudah meninggal dunia adalah satu kesalahan, tidak seperti di Britain atau Amerika Syarikat (AS).
Ludot sebelum ini memfailkan tindakan undang-undang ke atas doktor Jackson, Conrad Murray kerana mendatangkan kesedihan amat sangat ke atas peminat penyanyi itu apabila memberi dadah kepada bintang pop legenda AS berkenaan hingga meragut nyawanya.
Sejumlah besar stesen radio dari Australia hingga Kanada menghentikan penyiaran lagu Jackson selepas dokumentari terbabit ditayangkan dan pencipta animasi The Simpsons turut menghapuskan satu episod siri klasik itu kerana menggunakan suara mendiang.
Jackson meninggal dunia pada tahun 2009 ketika berusia 50 akibat pengambilan ubat bius berlebihan sewaktu berada di bawah jagaan Murray untuk sesi raptai di Los Angeles, sebagai persediaan menghadapi konsert yang sepatutnya diadakan di London. – AFP