M Update, 27/8/2019 – Kira-kira 74 peratus daripada 53,384 Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya mendapat penempatan pekerjaan selepas pembebasan di bawah Program Hijrah dalam tempoh enam bulan sejak ia dilaksanakan pada Januari lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Datuk Izhar Abu Talib berkata tawaran penempatan itu melibatkan lebih 400 syarikat atau majikan dalam pelbagai industri atau bidang pekerjaan di seluruh negara. Usaha berkenaan bertujuan memastikan OKP termasuk yang dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara mendapat peluang kedua untuk menjalani kehidupan yang lebih baik apabila mendapat pekerjaan dan sumber pendapatan yang tetap.
“Kita telah, sedang dan akan mengadakan kerjasama dengan syarikat swasta atau melalui Persekutuan Pengilang Malaysia di seluruh negara agar peluang pekerjaan yang ada dapat ditawarkan kepada OKP berbanding diberikan kepada warga asing.
Berdasarkan statistik yang ada, sambutan daripada pihak majikan atau syarikat adalah jauh lebih baik berbanding tahun sebelum ini dan kita mengharapkan lebih banyak majikan atau syarikat terlibat dalam program ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Izhar berkata OKP yang dibebaskan dari pusat pemulihan mempunyai kelebihan masing-masing kerana mereka turut menjalani program latihan vokasional yang mampu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang tertentu selain membentuk sikap positif dan berdisiplin. Selain itu, tawaran penempatan pekerjaan turut memberi manfaat kepada majikan atau syarikat yang terlibat kerana mereka dapat pengecualian cukai daripada Kementerian Kewangan sebagai insentif atau galakan agar lebih banyak majikan atau syarikat terlibat dalam program itu.
“Jaminan pekerjaan tetap merupakan salah satu prasyarat yang boleh membantu OKP dalam pemulihan selain sokongan daripada keluarga dan masyarakat agar mereka tidak kembali terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.
Tambahnya menerusi Program Hijrah itu juga, OKP dinasihatkan agar tidak kembali ke komuniti atau tempat tinggal lama mereka bagi mengelak kembali terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
“Selalunya apabila mereka kembali ke tempat tinggal terutama di mana mereka terjebak dengan dadah, mereka akan kembali berjumpa dengan kawan-kawan yang masih terlibat dengan dadah dan ‘trigger’ untuk terlibat kembali amat tinggi,” katanya.
Sumber : Bernama