M Update, 30/1/2020 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam menahan empat lagi individu disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan jangkitan 2019 novel koronavirus di laman media sosial.
SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua suspek yang berusia 24 hingga 49 tahun itu ditahan dalam empat serbuan berasingan di Melaka, Kedah dan Pahang dalam operasi yang dijalankan di antara 11 pagi dengan 5 petang semalam.
“Seorang tutor sambilan berumur 49 tahun ditahan pada jam 12 tengah hari kerana disyaki telah memuat naik kandungan palsu jangkitan virus tersebut di laman Facebook, pada 25 Jan lepas.
“Dua pembantu farmasi yang berumur 25 dan 30 tahun, pula masing-masing ditahan di Peringgit dan Merlimau, Melaka sekitar jam 4 petang berhubung kandungan palsu jangkitan virus tersebut yang dimuat naik di laman Facebook, pada 26 Jan lepas,” maklum suruhanjaya itu.
Menurut kenyataan itu, seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam berumur berumur 24 tahun pula ditahan pada 4.15 petang di Kuantan, Pahang kerana disyaki telah berkongsi kandungan palsu jangkitan itu di laman Twitter, pada 27 Jan lepas.
Sebanyak empat telefon pintar, lima kad sim dan dua kad memori yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan palsu berkaitan jangkitan virus tersebut turut dirampas daripada keempat-empat suspek.
SKMM menjelaskan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Semalam, SKMM menahan seorang suspek berusia 34 tahun yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan koronavirus di Bangi Selangor. Individu tersebut ditahan bagi membantu siasatan satu kandungan yang dimuat naik di laman Facebook pada 26 Jan 2020. – BERNAMA