Input your search keywords and press Enter.

Kes LTTE: Permohonan Jaminan ADUN Gadek Ditolak

M Update, 30/1/2020 – Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan jaminan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan yang ditahan kerana dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu dengan mengambil kira LTTE masih digazet sebagai entiti pengganas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ketika membaca keputusan penghakiman beliau berkata, biarpun semakan dibuat setiap enam bulan, namun sehingga kini KDN masih mengekalkan kumpulan itu sebagai pengganas.

Menurutnya, LTTE diklasifikasikan sebagai aktiviti perbuatan keganasan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Kes ini turut menyentuh Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

“Maka mahkamah ini tidak dapat memberikan jaminan atas kesalahan yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau hukuman mati,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata, mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) juga menghalang sepenuhnya mahkamah daripada menimbangkan permohonan ikat jamin. Walaupun Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan Seksyen 13 adalah tidak berperlembagaan namun katanya, seksyen ini masih wujud dalam perlembagaan.

Selain itu beliau berkata, pihak peguambela menyatakan tertuduh mempunyai masalah kesihatan namun mahkamah mendapati ia tidak termasuk dalam penyakit kronik sehingga memerlukan rawatan rapi. Turut hadir ketika keputusan dibaca ialah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman dan Mohd Firdaus Abu Hanipah manakala peguam, Ram Karpal Singh serta Harshaan Zamani mewakili tertuduh. Mahkamah turut menetapkan 11 Februari ini sebagai pengurusan kes.

Saminathan berdepan dua pertuduhan iaitu memiliki item berunsur pengganas dalam telefon bimbit pada 10 Oktober 2019 dan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis pada 28 November 2018. Maka tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah masing-masing mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130J (1)(a) yang boleh dihukum di bawah peruntukkan sama.

Selain itu, tertuduh turut berdepan satu lagi dakwaan di mahkamah berasingan membabitkan pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas menggunakan laman sosial Facebook atas nama Gsami Nathan Siva. Kesalahan didakwa dilakukan pada 28 November 2018, 8 Oktober dan 10 Oktober 2019. – SH Online

Leave a Reply