M Update, 20/3/2020 – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menutup semua operasi kemudahan tambah nilai di Pusat Khidmat Pelanggan dan lorong tambah nilai di semua plaza tol sistem tertutup dan terbuka di lebuh raya kendaliannya bagi membendung penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).
PLUS, dalam semalam, memaklumkan penutupan sementara kemudahan tambah nilai itu sehingga 31 Mac adalah strategi menjarakkan diri secara selamat untuk mengurangkan risiko jangkitan antara kakitangan di plaza tol dan pelanggan lebuh raya.
“Sehubungan itu, PLUS menasihatkan agar pelanggan lebuh raya merancang perjalanan mereka terlebih dahulu dengan menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal di pusat tambah nilai yang disediakan di seluruh negara.
“Kemudahan tambah nilai antaranya menerusi Kiosk Layan Diri (SSK) yang terdapat di 67 lokasi di kawasan rehat dan rawat terpilih, mesin ATM, stesen minyak terpilih, kedai serbaneka serta lain-lain lokasi di luar ekosistem lebuh raya,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, PLUS menjelaskan walaupun semua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS pada ketika ini dibuka, ia terhad kepada perkhidmatan jualan makanan dan minuman secara bungkus sahaja dan semua ruang makan di medan selera ditutup kepada orang ramai bagi mengelak pelanggan berkumpul.
Sementara itu proses disinfeksi, sanitasi dan pembersihan di Plaza Tol Ebor (Plaza Masuk) oleh agensi yang berkaitan sudah selesai 1.30 tengah hari tadi selepas seorang kakitangan di plaza tol berkenaan disahkan positif Covid-19, semalam. Bagaimanapun, plaza tol itu masih ditutup sepenuhnya sehingga tengah malam ini bagi menyusun dan menyediakan semula peralatan operasi untuk persediaan pembukaan tol plaza.
Pengguna dari sekitar Shah Alam, Batu Tiga dan kawasan sekitar yang ingin memasuki lebuh raya ELITE untuk ke KLIA, Putrajaya atau selatan dinasihatkan supaya berbuat demikian menerusi Plaza Tol Shah Alam atau Seafield. Semalam, seorang kakitangan Plaza Tol Ebor (plaza masuk) di Shah Alam yang bertugas sebagai pembantu khidmat pelanggan, disahkan positif jangkitan Covid-19.