M Update, 17/2/2021 – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) yang akan mula bersiaran pada hari ini di NTV7.
Kerajaan sedar akan keresahan rakyat dalam situasi sukar dan mencabar ini termasuk hal berkaitan pendidikan anak. Justeru, kerajaan bersetuju untuk mewujudkan satu saluran khusus untuk siaran TV Pendidikan.
Sebagai usaha untuk membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui televisyen dan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.
Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh murid, guru dan ibu bapa. Sebagai inisiatif mempelbagaikan sumber pembelajaran serta membantu murid tidak mempunyai akses Internet atau peranti sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian, KPM menyediakan slot program TV Pendidikan secara terestrial yang disiarkan di TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan DidikTV@NTV7.
“Hari ini terukir satu sejarah kerajaan buat pertama kalinya memperkenalkan DidikTV KPM sebagai saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari,” katanya di majlis pelancaran yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hari ini.
Muhyiddin berkata, sebelum ini kerajaan memperkenalkan modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan sekolah ditutup semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.
Menurutnya, pelbagai kaedah dilaksanakan dari rumah seperti secara dalam talian, luar talian dan ‘off-site’.
Kerajaan juga sedar bahawa murid terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada di kawasan bandar, luar bandar atau pedalaman. Disebabkan itulah, kita perlu terima hakikat bahawa pelaksanaan PdPR secara dalam talian masih belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh yang singkat. Ini kerana sebahagian besar murid tidak memiliki peranti sesuai dan juga faktor kekangan akses kepada internet.
KPM mengambil inisiatif menghidupkan kembali slot program TV Pendidikan secara terestrial pada awal tahun lalu, iaitu ketika PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac.
Mengenai DidikTV KPM yang dilancarkan hari ini, Muhyiddin menjelaskan, ia akan menyiarkan program berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM selain berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat pra sekolah sehingga tingkatan enam, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.
Selain itu, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan.
Segala usaha ini memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan ibu bapa. Marilah kita semua bersatu hati melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara.
Beliau yakin bahawa DidikTV KPM akan dapat membantu pelaksanaan PdPR, khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian. Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama anak-anak.