Input your search keywords and press Enter.

PM Ismail Sabri memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra hari ini

Foto: Bernama

M Update, 23/08/2021 – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Kenderaan membawa Ismail Sabri tiba di pekarangan bangunan Perdana Putra jam 8.23 pagi. Sebaik sahaja tiba di pintu protokol, Perdana Menteri sempat melambaikan tangannya ke arah pengamal media yang berada di pintu masuk berkenaan.

Ketibaan Ismail Sabri disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamil Rakon.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Ismail Sabri yang mengenakan sut serba hitam kemudian mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Aras 5. Ahli Parlimen Bera itu kemudiannya mengaminkan doa yang dipimpin oleh Pegawai Integriti JPM, Muhd Redza Ahmad sebelum menandatangani Buku Selamat Datang.

Ismail Sabri, 61, yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Sabtu lalu.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Ia susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.

Selepas melapor diri di Perdana Putra, Ismail Sabri dijadualkan mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Kedah bagi meninjau keadaan kawasan yang terjejas akibat banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku Rabu lalu.

Setakat ini, fenomena kepala air itu telah meragut lima nyawa, dan seorang lagi masih hilang. Banjir itu dilaporkan turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 rumah di Kuala Muda.

Semalam dalam ucapan sulungnya, Ismail Sabri memperkenalkan pendekatan Keluarga Malaysia bagi mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama berganding bahu untuk memulihkan semula negara, terutama daripada pandemik COVID-19.

Perdana Menteri berkata, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana baginya, keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga. – BH Online