M Update, 25/10/2021 – Arab Saudi kini memansuhkan peraturan mewajibkan jemaah membuat tempahan dan perlu menunggu 14 hari untuk menunaikan ibadah umrah.
Ketua Pegawai Perancangan dan Strategi, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Amr Al Maddah berkata, peraturan itu ditamatkan susulan pertambahan permohonan jemaah untuk menunaikan umrah. Katanya, sejak peraturan itu dimansuhkan, kapasiti jemaah yang beribadah di Masjidil Haram sama ada bersolat dan mengerjakan ibadah umrah menunjukkan peningkatan.
“Susulan permintaan tempahan tarikh mengerjakan umrah yang meningkat, kementerian memutuskan peraturan itu dimansuhkan dan diharap akan memberi peluang yang adil kepada semua untuk beribadah,” katanya kepada media tempatan.
Pada 16 Oktober lalu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan kelonggaran peraturan masuk ke negara itu termasuk untuk beribadah ke Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Peraturan bersolat dengan penjarakan satu meter antara jemaah juga ditamatkan di Masjidil Haram dan Masjdi Nabawi.
Sementara itu, beberapa sumber berkata, Kementerian Haji dan Umrah merancang untuk melancarkan lagi urusan umrah dan haji seperti sebelum penularan pandemik COVID-19. Ia berdasarkan peraturan baharu ditetapkan kementerian itu seperti membenarkan masjid dibuka dengan kapasiti penuh kepada jemaah untuk beribadah tanpa mengabaikan aspek keselamatan yang ketat.
Bagaimanapun, jemaah tetap diwajibkan memakai pelitup muka dan membuat tempahan mengerjakan umrah serta bersolat menerusi aplikai Tawakkalna dan Eatmarna. – Agensi, BH Online