Input your search keywords and press Enter.

Jualan Murah Diperluas Ke Seluruh Negara Mulai Pertengahan Ogos

M Update, 22/07/2022 – Program Jualan Murah Keluarga Malaysia akan dilaksanakan di 639 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara setiap minggu mulai pertengahan Ogos, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata program yang memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan barangan lebih murah pada setiap minggu diadakan selama 18 minggu sehingga akhir tahun ini.

“Program ini akan melibatkan lima kementerian dan dijalankan berdasarkan satu garis panduan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen semalam.

Lima kementerian terlibat telah mula mengambil tindakan bagi pelaksanaan program jualan murah mengikut garis panduan dan akan dipantau oleh KPDNHEP.

Selain KPDNHEP, empat kementerian yang akan bekerjasama bagi pelaksanaan program berkenaan ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Wilayah Persekutuan. – Bernama