M Update, 29/05/2023 – Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), orang kurang upaya (OKU), pendengaran, Muhammad Hawari Hashim,Muhammad Hawari Hashim 33, akan diteruskan selepas diberi kebenaran dan mendapat ihsan daripada pihak berkuasa Nepal yang mengendalikan aktiviti mendaki ke puncak tertinggi dunia itu.
Ketua Misi ME 2023 (ME 2023) yang juga Presiden Kelab Eksplorasi Altitude Malaysia, Azim Afif Ishak, 33, berkata pihak berkuasa Nepal menutup aktiviti mendaki ke puncak Everest bermula hari ini dan dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Nepal pihaknya telah mendapat ihsan selama lima hari bagi meneruskan misi SAR Muhammad Hawari.
Menurutnya, misi SAR ini akan menggunakan dua dron berteknologi tinggi membabitkan seorang pendaki, Tiong Ling Yang, 30, Pengurus Pasukan ME2023, Ayu Wanirah Naharuddin, 30, dan seorang malim gunung berpusat di Kem Dua kawasan pergunungan itu.
Katanya, misi SAR ini dijangka bermula esok dan ia bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa kastam negara itu yang masih belum memberi pelepasan kepada satu dron yang dihantar melalui kargo dari Malaysia pada Sabtu lalu.
“Sekiranya mendapat pelepasan kami akan bertolak esok dari Kathmandu ke Kem Dua menggunakan helikopter bagi menyambung misi SAR,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Kehilangan Muhammad Hawari memasuki hari ke 11 hari ini selepas beliau dilaporkan hilang selepas meninggalkan Kem Empat pada 19 Mei lalu. Terdahulu, pada 18 Mei (Khamis) lalu pendaki itu dilaporkan berjaya menawan puncak Everest pada jam 3.30 petang waktu Nepal.
Pada Sabtu lalu, satu perbincangan membabitkan Kedutaan Malaysia di Nepal yang dihadiri Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Fadzle Abu Hasan diadakan bagi memohon permit khas kepada Kerajaan Nepal untuk meneruskan misi SAR.
Azim berkata, sebelum ini mereka sudah membawa satu dron dan ia boleh melakukan pengesanan sehingga melebihi aras 8,000 meter dari aras laut serta kawasan berbahaya yang tidak boleh dimasuki anggota penyelamat dan malim gunung.
Menurutnya, sekiranya inisiatif dron ini berjaya mengesan objek, sut pakaian atau kelengkapan lain yang digunakan Muhammad Hawari, barulah akan menggunakan khidmat malim gunung untuk ditugaskan ke kawasan itu bagi mendapatkan pengecaman.
Katanya, inisiatif ini dapat menjimatkan kos serta lebih efektif dan pada masa sama, pihaknya juga sudah melantik 10 malim gunung yang sentiasa bersiap sedia untuk melakukan tugasan sekiranya diperlukan.
“Misi SAR selama lima hari ini juga bergantung kepada cuaca dan sekiranya berdepan cuaca buruk serta jalan buntu mungkin akan membuat suatu ketetapan, sama ada untuk meneruskan atau menamatkan misi SAR yang akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya. – BH
Sama-sama kita mendoakan semoga usaha misi SAR ini dipermudahkan serta Hawari dapat dijumpai segera walau dalam apa jua keadaan sekalipun.