M Update, 18/1/2019 – Sebuah bom kereta meletup di luar Akademi Polis Bogota dan menyebabkan sepuluh orang maut serta mencederakan tujuh puluh dua orang. Kebimbangan mula timbul mengenai kebangkitan semula keganasan di Colombia.
Imej yang dikongsi selepas kejadian di luar akademi di bahagian selatan ibu kota Colombia menunjukkan sisa letupan besar telah merosakkan jalan, bangunan yang terkena tempias letupan dan juga pokok-pokok yang berhampiran turut rosak.
Pegawai polis terus melakukan operasi mencari mangsa yang selamat. Terdapat kebimbangan bahawa angka mangsa yang cedera akan terus meningkat, menurut laporan Kementerian Pertahanan.
Presiden Colombia, Iván Duque yang kini berada di luar negara turut menzahirkan rasa sedih dan kecewa dengan tindakan mereka yang dianggap pengganas dan berjanji akan pulang untuk melakukan siasatan. “Semua orang di Colombia menolak keganasan”katanya di Twitter.
Kereta yang diletakkan bahan letupan itu dibebani dengan berat 175 pound pentolit (bahan letupan yang kuat), ianya meletus beberapa minit selepas majlis kenaikan pangkat pegawai-pegawai polis. Suspek dalam serangan itu seorang lelaki yang dikenal pasti oleh polis sebagai José Aldemar Rojas Rodríguez, meninggal dunia di tempat kejadian, kata para pegawai.
“Perkara seperti ini mempunyai kesan kepada semua orang di Colombia,” kata Jenifer Beltrán, seorang ibu berusia 36 tahun yang berada di rumah ketika mendengar letupan itu. “Ia menjadikan anda berfikir dan mengingat kembali perkara lalu dimana keganasan berlaku bertahun-tahun dan terdapat banyak bom kereta dan serangan dimana-mana saja di Colombia. Ianya menakutkan semua” katanya lagi.
Sumber: NY Times