M Update, 14/08/2024 – Kementerian Pengangkutan sedang merangka undang- undang termasuk mempertimbangkan hukuman denda terhadap lelaki yang menceroboh gerabak wanita.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini tiada sebarang peruntukan berhubung perkara tersebut.
“Kami sedang merangka denda yang sewajarnya untuk lelaki yang tidak dengar (degil) ini,” katanya ketika sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini pada Selasa.
Anthony berkata demikian mengulas mengenai insiden lelaki sengaja memasuki koc wanita yang ditawarkan oleh komuter Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Transit Aliran Massa (MRT) serta Transit Aliran Ringan (LRT).
Dalam pada itu, Anthony berkata, pemantauan secara berskala akan dilakukan oleh polis bantuan bagi memastikan tiada lagi berlaku pencerobohan di gerabak wanita.
“Kaum lelaki harus menghormatinya.
Tujuan gerabak wanita adalah untuk keselamatan, keselesaan dan keyakinan penumpang wanita menggunakan pengangkutan awam,” katanya. Sinar Harian