Input your search keywords and press Enter.

Bapa Zayn Rayyan Ungkap Kata-Kata Tidak Enak Didengar

M Update, 06/02/2025 – “Siapa bunuh anak aku?” itu ungkapan bapa kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, sejurus jasad anaknya itu ditemukan oleh saksi pendakwaan keenam pada malam 6 Disember 2023.

Perkara itu dimaklumkan Faizul Najib Abd Munaim, 47, individu pertama yang menemui mayat Zayn Rayyan, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian pada perbicaraan hari keempat bagi kes pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abd Manaf, 30.

Katanya, ayat itu diungkapkan bapa Zayn Rayyan yang bergegas ke kawasan penemuan kanak-kanak itu selepas ia ditemukan oleh saksi itu bersama dua lagi individu.

Saksi yang juga eksekutif jualan itu turut mengesahkan mendengar beberapa perkataan tidak ‘enak’ diungkapkan bapa arwah.

Kamarul Iman: Apa terjadi selepas kamu menemui arwah?

Faizul: Beberapa ketika, ayah arwah sampai, dia datang nak tengok anak dia, datang dari arah belakang.

Kamarul Iman: Selepas itu?

Faizul: Ayah dia dalam keadaan emosi dan beberapa perkataan kurang enak telinga diucapkan, yang tidak sedap telinga dengar, yang saya ingat (dia ungkapkan) ‘Siapa bunuh anak aku ini’

Kamarul Iman: Kedudukan kamu semasa dengar perkataan itu?

Faizul: Satu meter saja

Kamarul Iman: Selepas kamu dengar perkataan itu apa perasaan?

Faizul: Saya tersentap sebab saya difahamkan budak hilang, dia terbawa dengan emosi, saya tidak ambil kisah sangat dia ucapkan.

Kamarul Iman: Selepas itu?

Faizul: Anggota polis sampai saya serahkan IC (kad pengenalan) kepada polis untuk ambil keterangan saya.

Kamarul Iman: Macam mana kamu tahu itu ayah kepada badan yang kamu jumpa?

Faizul: Ada orang kenalkan sebagai ayah

Kamarul Iman: Apa berlaku selepas itu?

Faizul: Dah selesai, saya pun beredar, dan nak balik ke rumah, pertengahan jalan itu, seorang wanita tua yang mengaku ibu kepada pengasuh Zayn Rayyan, dia tanya, saya ke yang jumpa dan tanya macam mana keadaan masa jumpa. Saya cakap Alhamdulillah muka dia bersih macam tidur dan bermimpi, cara tidur mengiring dengan kaki bengkok. Mak cik itu mengesahkan kepada saya memang macam itu Zayn Rayyan tidur.

Faizul ketika memberi keterangan berkata, dalam perjalanan pulang ke rumah, dia kebetulan melalui pondok laluan masuk Apartmen Idaman dan mahu berjumpa dengan keluarga arwah Zayn Rayyan bagi menyampaikan ucapan takziah.

Faizul: Selepas itu saya beredar nak balik rumah, kebetulan lalu pondok mula masuk saya jumpa keluarga arwah sebab nak sampaikan salam takziah kepada keluarga, sampai di pondok itu bapa arwah di hadapan saya duduk atas kerusi sebelah kanan arwah isteri dia, saya ucapkan takziah

Kamarul Iman: Selepas itu?

Faizul: Respons bapa arwah Zayn Rayyan, “Saya diberitahu semasa abang jumpa anak saya, dia masih hidup lagi”, saya menafikan dan cakap saya jumpa dah macam tu, kemudian isteri dia mencelah “abang sabar, biar abang ini cakap dulu.”

Kamarul Iman: Kenapa isteri suruh suami bersabar?

Faizul: Saya beranggapan suami dia masih dalam keadaan emosi terganggu bila lihat anak dia tak bernyawa. Jadi cara percakapan kasar. Saya anggap itu sahaja. Lepas itu saya mahu pulang, dia pun ulang balik soalan sama, “saya dapat tahu anak saya masa abang jumpa hidup lagi”, saya tak nak layan, saya beredar.

Kamarul Iman: Apa reaksi wajah isteri dia, ada sebarang tangisan air mata?

Faizul: Isteri dia nampak tenang, mungkin isteri boleh terima keadaan anak dah meninggal dan kawal perasaan, saya tidak tengok air mata.

Sementara itu, saksi sama turut menjelaskan pada keesokan harinya ketika berjalan ke kereta, jirannya bertanya khabar dan di mana lokasi sebenarnya dia berjumpa mayat Zayn Rayyan.

“Saya beritahu keadaan tempat itu atas timbunan pasir, rakan saya beritahu dalam jam 10 atau 11 pagi, pada siang 6 Disember, waktu itu tiada jasad lagi di situ,” katanya.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. – BH