Input your search keywords and press Enter.

Mayat Ibu dan Anak Ditemui Reput Dalam Rumah

M Update, 01/07/2025 – Mayat seorang wanita bersama anak perempuannya ditemui di rumah tingkat sembilan sebuah apartment di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.

Difahamkan, panggilan diterima pihak polis berhubung kejadian itu pada jam 4.41 petang sebelum pasukan berkenaan meminta bantuan anggota bomba untuk membuka pintu kediaman terbabit kerana berkunci dari dalam.

Mayat wanita tempatan berusia 40 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun itu ditemui di dalam bilik utama unit terbabit.

Pihak polis turut menemui beberapa jenis ubat dipercayai digunakan bagi merawat individu yang mengalami tekanan perasaan di dalam rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad mengesahkan menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu selepas terhidu bau busuk disyaki dari rumah berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian menemui mayat wanita dan kanak-kanak perempuan di bilik utama dalam keadaan reput.

“Berdasarkan dokumen pengenalan si mati mendapati kedua-duanya berusia 40 dan dua tahun serta dipercayai mempunyai hubungan ibu dan anak.

“Mayat kedua-dua beranak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Adik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nor berkata, kakaknya tinggal bersama anak di rumah itu selepas bercerai dan dikatakan tidak bekerja.

“Kali terakhir saya jumpa kakak pada hujung Mei lalu,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, jiran mangsa yang tinggal di tingkat sama berkata, dia menyangka wanita itu sudah berpindah kerana tidak dengar sebarang bunyi atau bau dari rumah berkenaan.

Sebelum ini, si mati memaklumkan hasratnya untuk berpindah dan pernah dilihat membawa barang-barang seolah-olah sedang bersiap untuk berpindah.

Dia turut memberitahu bahawa rumah tersebut akan dilelong dan merancang untuk berpindah ke Seberang Perai. Selepas itu, dia tidak lagi kelihatan.