
M Update, 07/11/2025 – Kementerian Luar menolak dakwaan dalam video berbahasa Thailand yang tular kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan pengintip Amerika Syarikat (AS) dan pengkhianat berikutan penglibatannya dalam rundingan damai antara Kemboja dan Thailand.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, menjelaskan bahawa Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, sendiri mengiktiraf peranan penting Anwar sebagai fasilitator yang berjaya dalam rundingan tersebut.
Beliau berkata, Wisma Putra akan memantau video tular itu memaparkan bekas Ketua Stesen Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand, Jeneral Rangsi Kitiyanasap yang menuduh Anwar kononnya menyebabkan Thailand mengalami kerugian ekonomi dalam perjanjian damai Thailand-Kemboja.
Mohamad berkata, pengiktirafan itu dibuat ketika rundingan antara Anutin dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu, yang turut disaksikan Anwar dan Presiden AS, Donald Trump.
Mengulas lanjut berhubung video tular berkenaan, Mohamad berkata, pihaknya buat masa ini tidak akan memberi respon terhadap isu tular yang tidak mempunyai autoriti secara diplomatik.
Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik dengan Thailand. Oleh itu, sebarang isu yang tular tanpa autoriti diplomatik tidak akan diberikan sebarang maklum balas oleh kerajaan.
Kerajaan akan terus memantau segala perkembangan berkaitan. Sebarang pandangan atau tindakan pihak tertentu yang memperkecilkan peranan Perdana Menteri adalah hak masing-masing. Namun begitu, Perdana Menteri Thailand sendiri mengiktiraf dan mengesahkan peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri Malaysia dalam rundingan tersebut.