
M Update, 10/04/2026 – Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam yang bermula Rabu depan tidak akan menjejaskan pergerakan ekonomi, sebaliknya bertujuan memastikan produktiviti terus kekal, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, berbeza dengan pelaksanaan semasa pandemik COVID-19, BDR kali ini tidak bertujuan mengekang aktiviti ekonomi, tetapi memastikan tugasan dapat dilaksanakan secara berkesan dari lokasi masing-masing.
Mengulas kebimbangan pembelian panik, beliau memaklumkan kerajaan telah mengambil langkah awal melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan bekalan mencukupi.
Menurutnya, stok makanan asas seperti beras dijangka mampu bertahan sehingga sembilan bulan, manakala bekalan lain seperti sayur-sayuran, ayam dan telur terus dipantau.
Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak melakukan pembelian panik bagi mengelakkan gangguan terhadap kestabilan bekalan sedia ada.
Sumber: Bernama