M Update, 13/2/2019 – Pagi ini, dua keluarga daripada 40 tahanan warga Sarawak berlepas ke Kemboja bagi meninjau sendiri keadaan mereka di negara itu.
Selain Zunita Sedini yang juga ibu kepada Yusuf Islam Abdul Halik, selain turut serta ialah kakak salah seorang mangsa, Chong Mei Lan.
Mereka diiringi Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang juga Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) berlepas ke Siam Reap, Kemboja melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebentar tadi.
Setibanya di Siam Reap, kumpulan itu akan terus ke Poipet melalui perjalanan darat selama sejam setengah untuk melihat sendiri keadaan kesemua tahanan termasuk masing-masing tiga lagi dari Sabah, Selangor dan seorang dari Kuala Lumpur di Penjara Wilayah Banteay Mancheay.
Kumpulan itu akan turut disertai wakil Kedutaan Malaysia di Kemboja, selain seorang individu dikenali sebagai Mohd Azra Abdul Razak yang banyak membantu menjaga kebajikan tahanan terbabit.
Keseluruhannya, 47 warga Malaysia ditahan di penjara itu sejak 11 Disember lalu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian di negara berkenaan.
Kesemua individu terbabit dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa yang berselindung di sebalik pelbagai tawaran pekerjaan bergaji lumayan.
Sumber : Berita Harian