Input your search keywords and press Enter.

4 Ditahan Pasang Bendera Terbalik – Polis Johor

M Update, 12/8/2020 – Polis menahan empat individu termasuk seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Tebrau, petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata bertindak atas maklumat dna susulan laporan polis dibuat orang awam, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Dato’ Onn membuat pemeriksaan di kilang yang sudah beroperasi selama lapan tahun itu, kira-kira jam 2.07 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bendera Johor dan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik, yang kemudiannya polis menahan pengurus kilang, pegawai sumber manusia, kerani logistik dan individu warga Bangladesh berusia 23 hingga 56 tahun yang ditugaskan dalam pemasangan bendera.

“Semua suspek ditahan untuk diambil keterangan dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya, selain turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.

“Polis Johor tidak akan terima sebarang alasan dan yang kita tahan bukan hanya yang memasangnya tapi pemilik premis sekali.

“Rakyat Malaysia yang sudah merdeka 63 tahun namun masih lagi memasang Jalur Gemilang terbalik. Tidak ada tolak ansur. Selepas ini kalau ada lagi, kita (polis) tahan semua yang bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Ayob Khan berkata, alasan yang biasa diberi dalam pemasangan bendera secara terbalik itu disebabkan warga asing yang memasangnya.

“Sebagai rakyat Malaysia sepatutnya mereka prihatin dan betul-betul memeriksa (pemasangan bendera). Habis apa peranan pemilik kilang itu?

“Polis Johor menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kedaulatan dan keamanan negara, selain tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada jika masih terkesan perbuatan sebegini,” katanya.

Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254 074. – BH Online