Input your search keywords and press Enter.

Jenazah Haziq Selamat Dikebumi

M Update, 21/3/2019 – Jenazah Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang maut dalam serangan pengganas kulit putih di dua masjid di Christchurch pada Jumaat lalu, selamat dikebumikan jam 12 tengah hari tadi waktu Malaysia (5 petang waktu New Zealand).

Perincian masa dan lokasi jenazah Mohd Haziq ditemui tidak boleh didedahkan kerana tertakluk dengan akta privasi New Zealand. Muhammad Haziq adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ketika kejadian pada jam 1.40 tengah hari waktu New Zealand itu, Mohd Tarmizi bersama Muhammad Haziq dan seorang lagi anaknya, Mohd Haris, 12, hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Mohd Haris terselamat tetapi trauma, manakala Mohd Tarmizi parah.

Insiden serangan di dua masjid di Christchurch itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia.

Selain Mohd Tarmizi yang berasal dari Alor Setar, Kedah, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Kampung Binja, Bayan Lepas di sini dan Muhammad Nazril Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor. Mereka kini menerima rawatan di Hospital Christchurch.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply