Input your search keywords and press Enter.

Berkhidmat Sambil Beramal

M Update, 15/4/2019 – Pengusaha kereta sewa di Kampung Sungai Padang, Kangar, sanggup memberikan semua hasil keuntungan perniagaannya selama seminggu bagi membantu Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin dari Melaka yang menghidap kanser ‘Germ Cell Tumor’.

Pengusaha, Azriq Uzair, 34, berkata, jumlah yang berjaya dikumpul setakat ini hasil daripada sewaan sembilan kereta miliknya hampir RM2,000 sejak ia mula diiklankan kepada orang ramai di Facebook pada 10 April lalu.

Katanya, dia bersama isteri, Nurhidayah Bakri, 27, yang masih belum menimang cahaya mata sejak empat tahun lalu, sudah menganggap Ainul Mardhiah seperti anak mereka sendiri meskipun tidak mengenalinya sehingga sanggup membantunya melalui kaedah berkenaan. Pada mulanya saya hanya melihat nasib Ainul Mardhiah di Facebook selepas rakaman videonya tular pada 10 April lalu, terus terdetik perasaan belas kasihan terhadapnya.

Ketika itu saya hanya fikirkan ujian saya yang belum menimang anak begitu berat, namun selepas melihat keadaan Ainul, saya dan isteri sedih apabila ibu bapanya sudah diizinkan memiliki anak di usia muda tetapi diduga dengan keadaan yang sedemikian rupa. Saya dan isteri berbincang dan kami nekad membantu Ainul Mardhiah melalui sewaan kereta amal selama seminggu kepada keluarganya,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Azriq berkata, kadar sewaan yang dikenakan kepada pelanggannya adalah bernilai RM60 untuk model Perodua Myvi dan beberapa model kereta lain. Pelanggan hanya perlu membuat bayaran secara terus ke akaun keluarga Ainul Mardhiah dan menghantar resit pembayaran sebagai bukti kepada saya melalui Whatsapp. Kemudian saya dan isteri akan menghantar kereta yang ingin disewa kepada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, melalui cara demikian dapat membantu Ainul Mardhiah agar dia kembali normal seperti bayi yang lain. Alhamdulillah setakat ini kereta sewa saya sudah habis ditempah oleh pelanggan sehingga esok (Selasa). Insya-Allah jika Ainul Mardhiah masih perlukan sebarang bantuan kewangan, saya dan isteri akan usahakan agar tempoh sewaan kereta secara amal ini dilanjutkan lagi,” katanya. Katanya pelanggan yang ingin menyewa keretanya sambil beramal boleh ke laman FB Kereta Sewa Perlis RB. – HM Onliine

Leave a Reply