Input your search keywords and press Enter.

Trump tawar bantu rakyat Kanada ditahan di China

M Update, 10/05/2019 –  Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bercakap dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau semalam dan bersedia membantu warga negara Kanada yang ditahan di China, kata Rumah Putih.

Empat rakyat Kanada ditahan di China, dua daripadanya dijatuhi hukuman mati atas dakwaan menyeludup dadah.

“Ketika perbualan itu, Presiden menyatakan komitmen padu AS untuk menyokong Kanada dalam usaha mendapatkan layanan yang adil dan membebaskan warga Kanada yang kini ditahan di China,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menyebut, kedua-dua pemimpin terbabit turut membincangkan rundingan perdagangan dengan China dan pakatan perdagangan bebas baharu Amerika Utara.

Semalam, sebuah mahkamah di China menangguhkan perbicaraan rayuan warga Kanada, Robert Lloyd Schellenberg yang dijatuhi hukuman kerana menyeludup dadah.

Dia dijatuhi hukuman mati Januari lalu selepas mahkamah menganggap hukuman penjara 15 tahun adalah terlalu ringan.

Sebelum ini Trudeau berkata bahawa China menjatuhkan hukuman mati secara sewenang-wenangnya ke atas Schellenberg.

Kes Schellenberg dilihat sebagai timbal balas ke atas penahanan eksekutif tertinggi Huawei, Meng Wanzhou gergasi teknologi China, yang ditangkap di Kanada atas permohonan ekstradisi AS berkaitan dengan pelanggaran sekatan Iran.

Susulan penahanannya Disember lalu, China membalas dengan menahan bekas diplomat Kanada, Michael Kovrig dan ahli perniagaan Michael Spavor.

Hak mereka untuk mendapatkan khidmat guaman juga dinafikan dan hanya membenarkan lawatan bulanan oleh wakil konsulat. – AFP

Leave a Reply