Input your search keywords and press Enter.

RAMADAN MASA TERBAIK PUPUK PERPADUAN SEMAI PATRIOTIK

Sambutan bulan ramadan di Malaysia sangat unik berbanding dengan sesetengah negara lain. Ianya disebabkan pola sosial penduduk di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai suku kaum, agama dan kepercayaan. Namun begitu, ancaman daripada segi keselamatan politik, ekonomi dan sosial di mana-mana tempat di seluruh dunia tidak pernah berhenti walaupun di bulan Ramadan. Oleh itu, prioriti kita rakyat Malaysia ialah sama-sama memastikan keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama.

Sejak awal ramadan, media sosial memaparkan beberapa cerita menarik semasa bulan Ramadan di Malaysia antara Muslim dengan penganut bukan Muslim. Suasana ini membuktikan kematangan masyarakat Malaysia di dalam meraikan kepelbagaian anutan agama, fahaman politik dan perbezaan budaya.

Baru-baru ini, dalam satu peristiwa di dalam feri antara Langkawi-Kuala Kedah, penumpang terpaksa bertukar feri kerana masalah teknikal. Apabila sampai waktu berbuka puasa dan tiada makanan yang cukup untuk berbuka, tiba-tiba dua orang penumpang Cina telah mengedarkan kesemua coklatnya untuk orang Muslim berbuka puasa. Ianya diikut seorang lagi penumpang Cina yang menawarkan KFC nya kepada penumpang Muslim yang lain. Ini adalah tanda kebersamaan dalam konteks Malaysia kita.

Sebenarnya kisah seperti ini bukanlah asing kepada rakyat Malaysia walau di mana jua mereka berada. Saya percaya ramai yang mempunyai pengalaman yang tersendiri. Ketika di USA, saya juga menerima perkara yang sama di mana semasa saya menumpang di rumah penyelia saya seorang rakyat Malaysia yang beragama Kristian, mereka sekeluarga sanggup membawa kereta sejauh 2 jam ke bandar Colombus untuk membeli barang-barang makanan halal.

Kemudian, kami sama-sama memasak dan makan bersama. Mereka amat memahami budaya dan kepercayaan umat Islam, begitu juga sebaliknya kita turut memahami budaya dan kepercayaan agama mereka. Jika perkara seperti ini dapat disuburkan dalam konteks Malaysia yang pelbagai kaum dan agama, ianya boleh mengekalkan keamanan, kesejahteraan dan kemajuan negara kita.

Di Malaysia, suasana lain yang boleh merapatkan hubungan kaum ialah semasa umat Islam membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan. Pemandangan yang menarik apabila kaum-kaum lain turut mengambil peluang untuk membeli makanan yang dijual. Pemandangan ini sudah menjadi lumrah di kalangan rakyat Malaysia dan merupakan peluang kepada rakyat untuk menguatkan lagi ketahanan nasioanal, perpaduan dan semangat patriotik. Ramai orang tidak sedar bahawa salah satu ciri-ciri Patriotisme selain daripada menyayangi negara ialah menyayangi rakyatnya jua.

Dalam konteks Malaysia, amat menarik juga melihat daripada aspek media sosial khususnya Facebook, Instagram, twitter dan whatsapp kumpulan penggunanya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan penganut agama. Kita biasa melihat dalam kumpulan wassap pelbagai kaum, ucapan-ucapan seperti Selamat berpuasa, Selamat Hari Raya, Selamat Hari Deepavali, Selamat Tahun Baru Cina, Selamat Hari Krismas, Selamat Hari Gawai, Selamat Pesta Kaamatan dan sebagainya diucapkan untuk menghormati dan meraikan kawan-kawan daripada pelbagai kaum dan agama. Secara tidak langsung, ucapan-ucapan seperti itu telah melahirkan keharmonian dan mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan kepelbagaian kaum di negara kita tanpa menjejaskan akidah dan iman seseorang.

Kesimpulan sangat mudah, Ramadan kareem memberi rahmatan lil alamin kepada semua. Keharmonian lebih baik daripada permusuhan. Kasih-sayang punca kemenangan.

Penulis adalah penganalisis dalam bidang politik dan kerajaan, patriotisme dan Kenegaraan.

Leave a Reply