Input your search keywords and press Enter.

Jenazah Siti Kharina Selamat Dikebumikan

M Update, 17/5/2019 – Jenazah ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah, Seri Menanti, di sini, kira-kira jam 9 malam tadi.

Terdahulu, jenazah Siti Kharina selamat tiba di kampung halamannya di Kampung Tengah, Seri Menanti dari Hospital Serdang kira-kira jam 6.15 petang. Jenazah kemudiannya disembahyangkan di rumah milik keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah selepas solat Ishak.

Lebih 100 ahli keluarga, termasuk suami arwah, Mohd Udzir Khalid, 40, dan tiga anak mereka Khairin Uzma, 14, dan pasangan kembar berusia 10 tahun Khairin Daima Hana dan Khairin Damia Hasya berada di tanah perkuburan itu. Turut kelihatan Ahli Parlimen Kuala Pilah yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith. Bagaimanapun usaha untuk menemubual suami dan anak-anak arwah gagal apabila mereka enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kehilangan insan tersayang.

Sementara itu, ibu saudara Siti Kharina, Datin Fauziah Mohamed, 54, ketika ditemui berkata kali terakhir mereka berjumpa dengan arwah pada petang sehari sebelum berpuasa di rumah pusaka dekat Kampung Tengah. Fauziah berkata, beliau bersama keluarga arwah yang dipanggil Kak Long, pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan selain berbincang mengenai persiapan Aidilfitri di kampung. Bagaimanapun tidak nampak sebarang perubahan pada Kak Long ketika itu dan kami berbual seperti biasa kerana Kak Long seorang yang baik dan peramah.

Tetapi kehilangan Kak Long dalam tragedi seperti ini amat mengejutkan keluarga kami lebih lagi pada bulan Ramadan,” katanya. Fauziah berkata, dia amat terkilan dan sedih dengan apa yang berlaku terhadap anak saudaranya. Tidak sangka ada orang yang tergamak melakukan jenayah sedemikian dan kami berharap pihak polis dapat menangkap si pelaku ke muka pengadilan,” katanya.

Katanya, beliau mengetahui mengenai kehilangan arwah menerusi aplikasi WhatsApp anaknya dan paling mengejutkan arwah berjaya ditemui tetapi sudah meninggal dunia . Sementara itu, sepupu mangsa yang dikenali sebagai Zura, 49 dari Kuala Lumpur turut terkejut menerima berita mengenai saudaranya itu. Katanya, walaupun sudah beberapa hari tidak berjumpa tetapi kejadian itu amat memberi kesan kepada mereka sekeluarga terutama di bulan Ramadan. – BH Online

Leave a Reply